suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Tuanku Muhriz bertitah Exco Negeri Sembilan jangan melampaui kuasa, ulang kesilapan lalu

Baginda bertitah supaya perkara yang berlaku sebelum ini dijadikan pengajaran.

YANG di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mengingatkan barisan Exco baharu supaya memahami batas tugas dan tidak bertindak melampaui dalam bidang kuasa masing-masing.

Baginda bertitah, segala peristiwa serta isu yang tercetus sebelum ini perlu dijadikan pengajaran bagi mengelakkan perkara sama berulang sehingga menjejaskan keharmonian dan kestabilan pentadbiran negeri.

Titah itu disampaikan ketika Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, pada Jumaat.

"Kamu hendaklah sentiasa memahami batas tugas dan bidang kuasa masing-masing serta tidak bertindak melampaui kuasa dan tanggungjawab yang telah ditetapkan.

"Tumpukan sepenuh perhatian kepada portfolio yang diamanahkan dan laksanakan tanggungjawab tersebut dengan penuh komitmen dan kebijaksanaan.

"Beta tidak mahu perkara yang sama berulang sehingga boleh menjejaskan keharmonian, kestabilan dan kelancaran pentadbiran Kerajaan Negeri," titah Baginda.

Turut berangkat, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud bersama kedua-dua anakanda, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al’Abidin.

Tuanku Muhriz turut menzahirkan ucapan tahniah kepada wakil rakyat yang dilantik menganggotai barisan Exco baharu.

Baginda bertitah, pelantikan itu merupakan satu penghormatan yang turut membawa tanggungjawab serta amanah besar kepada negeri dan rakyat.

Sehubungan itu, semua Exco diseru mengutamakan kepentingan rakyat serta melaksanakan tugas dengan penuh integriti dan profesionalisme.

Setiap keputusan juga hendaklah dibuat berlandaskan kepentingan negeri serta kesejahteraan rakyat.

"Beta mendoakan agar Allah S.W.T. sentiasa memberikan petunjuk, kekuatan dan kebijaksanaan kepada Menteri Besar serta seluruh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.

"Semoga Negeri Sembilan terus berada dalam keadaan aman, makmur dan sejahtera, demi kepentingan seluruh rakyat," titah baginda.

Terdahulu, kemelut politik negeri menyaksikan usaha mempertikaikan kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Menurut pihak istana, 10 Exco terdahulu bersetuju dengan penyingkiran baginda pada 15 September lalu, sebelum pelantikan mereka dibatalkan berkuat kuasa 20 September atas alasan melanggar sumpah jawatan. 

Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim kemudian mengesahkan beliau bersama 10 bekas Exco menarik balik surat bertarikh 17 September yang mempertikaikan kedudukan baginda.

Keputusan tersebut dimaklumkan menerusi surat bertarikh 10 November kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

Artikel Lain